Tuesday 19 February 2013

SMK SERI AMPANG

SEJARAH SEKOLAH
 Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang Ipoh telah dibuka pada bulan Disember 1995 dengan bilangan guru dan staff sokongan ketika itu seramai 50 orang.  Pada 4 Januari 1996, sekolah mula beroperasi dengan seramai 1,500 pelajar yang mendaftarkan diri dari kelas peralihan hingga tingkatan lima.

Pada mulanya, bilangan guru yang melaporkan diri adalah seramai 26 orang. Bilangan ini meningkat menjadi 63 orang pada 1 Mac 1996. Selain kelas akademik biasa, terdapat juga kelas khas untuk pelajar-pelajar istimewa. Bermula dengan sebuah kelas dengan 7 orang pelajar dengan dibimbing oleh 2 orang guru, kini menjadi 9 buah kelas dengan 60 orang pelajar dan dibimbing oleh 16 orang guru.

Kawasan sekolah ini seluas 10 ekar dan dikelilingi oleh taman-taman perumahan. Kedudukan sekolah ini adalah lebih kurang 500 meter dari pekan Gunung Rapat dan kira-kira 10 kilometer dari pusat Bandaraya Ipoh.  Kemudahan-kemudahan asas sekolah adalah mengikuti piawaian sekolah 36 bilik darjah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Perasmian sekolah ini telah disempurnakan oleh D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah pada 13 Jun 1998.

Setelah hampir 15 tahun penubuhannya, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang Ipoh telah mencipta banyak kejayaan.  Antaranya ialah Johan Pertandingan 3K Negeri Perak, Johan Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Perak, Johan Pertandingan Lanskap Hari Bandaraya Ipoh Kategori Sekolah Menengah.  Kejayaan terbesar yang pernah dicipta oleh SMK Seri Ampang Ipoh ialah mencipta rekod Malaysia menjahit Jalur Gemilang terbesar. Nama SMK Seri Ampang Ipoh sudah tercatat dalam Malaysia Book of Records kerana telah Berjaya mencipta sejarah menjahit Jalur Gemilang Terbesar dan Sijil Pengiktirafan itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Dato’Seri Dr.Mahathir Mohamed pada satu  majlis ringkas di padang STAR Ipoh pada 25 Ogos 2001.

Kini Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang Ipoh giat membangun dengan penekanan terhadap aspek kecemerlangan kurikulum, ko kurikulum, sahsiah dan kepimpinan serta aspek-aspek keselamatan, keceriaan dan kebersihan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

No comments:

Post a Comment